Keperluan Perlaksanaan Program Pemulihan di Sekolah-sekolah Rendah di Malaysia




     Program Pemulihan seharusnya dilaksanakan di setiap sekolah-sekolah rendah Malaysia, sama ada yang berlokasi di bandar mahupun luar bandar. Tujuan program pendidikan pemulihan adalah mengenal pasti pelajar yang memerlukan pemulihan, mewujudkan alat-alat diagnostik supaya dapat mengesan kesulitan-kesulitan pembelajaran tertentu, mengeluarkan bahan-bahan kurikulum dan kaedah-kaedah pengajaran yang sesuai untuk memenuhi keperluan setiap kanak-kanak, mencegah sesuatu kurang upaya supaya tidak menjadi satu kecacatan, merapatkan hubungan antara guru biasa dan guru khas agar layanan yang diberikan oleh guru khas dapat diteguh guru biasa serta membentuk komunikasi yang berkesan dengan pakar-pakar dan agensi-agensi untuk perkembangan optimum setiap kanak-kanak.

Berdasarkan laman web Kementerian Pelajaran Malaysia, matlamat program pemulihan adalah untuk memastikan semua murid Tahap 1 sekolah rendah menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. 

Menurut Robiah (1992), berdasarkan Buku Panduan Program Pemulihan Kurikulum Baru Sekolah untuk Tahap Satu Kementerian Pendidikan Malaysia (1948), tujuan-tujuan utama pengajaran pemulihan terdiri daripada tiga, iaitu membantu murid-murid mengatasi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu, membantu murid mengubah sikap yang negatif dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran serta memupuk dan mengembangkan sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran. 

Di samping itu, beberapa tokoh turut telah memberikan pandangan mereka tentang tujuan pelaksanaan program pemulihan. Antaranya tokoh pertama iaitu Koh (1986) yang telah menegaskan bahawa pengajaran pemulihan diperlukan untuk mengatasi kesusahan pembelajaran bagi kanak-kanak yang mengalami kesusahan ini tanpa menghirau label-label ke atas murid tersebut.

Tokoh kedua Blair (1968) pula mengatakan bahawa pengajaran pemulihan diperlukan untuk menyingkirkan tabiat dan sikap yang tidak selari dengan pembelajaran berkesan atau dengan kata lain memulihkan kesalahan atau kelemahan. Beliau turut menambahbaikkan bahawa program tersebut diperlukan untuk mengajar buat kali pertama tabiat, kemahiran dan sikap baik yang belum dipelajari, tetapi seharusnya sudah dipelajari. Tabiat, kemahiran dan sikap baik diperlukan oleh murid untuk meningkatkan kecekapan murid. Secara konklusinya, pengajaran pemulihan diperlukan untuk megikis tabiat tidak baik yang sedia ada dan membentuk tabiat baik yang belum ada pada seseorang murid tersebut.

Berdasarkan Pusat Perkembangan Kurikulum (1985), pengajaran pemulihan adalah khusus bagi membantu sebahagian pelajar yang menghadapi masalah (terutamanya masalah bahasa) pembelajaran di sekolah rendah.

Koh (1981) juga bertegas bahawa pemulihan bidang bahasa adalah bagi mencegah pembaziran dalam bidang pendidikan kerana wujud satu hubungan yang rapat antara kegagalan bahasa dengan kegagalan dalam pendidikan murid. Pendapat Koh tersebut disokong dan ditegas oleh duo tokoh iaitu Creber (1974) dan Gulliford (1974).

Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyediakan satu laporan yang bertajuk Asia and Pasific Programme of Educational Innovation for Development (1987). Dalam laporan tersebut telah menyatakan tujuan pengajaran pemulihan adalah untuk membantu murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran.

Chua (1983) memberi pendapatnya bahawa tujuan pengajaran pemulihan adalah memberi pengalaman konkrit, memberikan kebebasan daripada pertandingan dengan murid yang lain di kelas yang sama selain menanamkan perasaan kejayaan di jiwa kanak-kanak agar mereka berasa lebih berkeyakinan, lebih ingin mencuba mengikut tahap keupayaan mereka.

             Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (1985) pengajaran pemulihan adalah khusus untuk membantu sebilangan pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran di sekolah rendah, terutamanya dalam masalah bahasa.                      

No comments:

Post a Comment